MYO-TV

TERKINI
ANDA CINTAKAN KEMAKMURAN, PERPADUAN, KESTABILAN MALAYSIA SEPERTI YANG DIKECAPI HARI INI?? Jika setuju sila klik "Like" di bawah:

Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Merusuh Pada Hari Pengundian

Oleh: RR - 2013/05/13 | 9:21 AM

KLANG: Dua lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat mengaku tidak bersalah atas tuduhan terlibat dalam satu rusuhan di Jalan Mesra, Pandamaran Pelabuhan Klang pada hari pengundian pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.

Lim Siong Kuan, 32, dan Yap Kwee Heng, 36, bersama beberapa orang lagi yang masih bebas, didakwa terlibat dalam rusuhan dan memiliki topi keledar serta besi yang digunakan sebagai senjata untuk memecahkan cermin sebuah bas syarikat City Liner Sdn Bhd pada pukul 4.30 petang, 5 Mei lepas.

Lim dan Yap dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Yap juga didakwa melakukan khianat pada tempat dan waktu yang sama iaitu memecahkan cermin bas City Liner itu yang mengakibatkan kerugian RM5,000.

Pertuduhan dibuat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Noor meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan bagi Yap dan RM5,000 bagi Lim.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka, yang diwakili peguam R.Ramesh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan itu bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan mahkamah boleh mengarahkan mereka melaporkan diri di balai polis berdekatan dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata Yap yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak bekerja sebagai juruteknik penyaman udara dengan pendapatan bulanan RM3,000 manakala Lim juga telah berkahwin dan mempunyai tiga anak merupakan seorang peniaga peralatan sembahyang dengan pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000.

Ramesh memohon jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dan tertuduh telah memberikan kerjasama kepada polis dalam sisatan.

Bagaimanapun, Farah Wahida berkata jaminan terlalu rendah tidak dapat menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.

Majistret Maslina Mohamed kemudian menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan ke atas Yap mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan RM2,000 bagi setiap tertuduh untuk kes menurut Seksyen 148 kanun yang sama selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Beliau juga menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 19 Jun ini. - BERNAMA

#PRU13 #GE13: BN Senaraikan 33% Calon Parlimen, 49% DUN Muka Baru - @NajibRazak

Oleh: RR - 2013/04/15 | 6:39 PM

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menampilkan 33% muka baru di kerusi Parlimen manakala 49% di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon yang tersenarai adalah mereka yang dapat memenuhi akujanji yang terdapat dalam manifesto BN.

Najib menyerahkan surat watikah dan
aku janji calon Barisan Nasional kepada
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Menara Dato Onn,
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur
"Senarai calon BN ini pada hemat saya adalah barisan terbaik yang mampu kita sediakan untuk memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

"Pemilihan calon kali ini telah melalui proses yang panjang kerana banyak rundingan dengan parti kompenan dan pengerusi BN negeri," katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah dan senarai calon kepada pemimpin parti komponen BN dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri di Menara Dato Onn di sini pada Isnin.

Beliau berkata mengikut jadual senarai calon parti komponen BN akan diumumkan oleh pimpinan masing-masing pada Isnin atau Selasa.

Sementara itu, menurut Najib, calon Umno akan dirangkum dan diumumkan secara serentak oleh Pengerusi BN negeri masing-masing.

Sebanyak 727 kerusi dipertandingkan pada PRU-13 dengan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

Mengulas lanjut Najib yang juga Presiden Umno berkata pemilihan barisan calon kali ini dibuat dengan mengambil kira sentimen dan aspirasi pengundi.

"Kita ambil kira sentimen dan jangkaan pengundi untuk lihat perubahan dalam BN.

"Kita juga melihat perlunya wakil-wakil rakyat sedia ada terdiri daripada mereka yang berpengalaman berkhidmat dalam kerajaan atau wakil rakyat. Imbangan antara muka-muka baru adalah sangat penting " katanya.

Jelas Najib, pembaharuan bukan sahaja dari segi calon tetapi juga mereka yang boleh memenuhi keperluan rakyat.

"Bukan sahaja perlu tampilkan pembaharuan. Sebagai parti dengan mandat baru dengan kerajaan akan datang. Kita perlu mereka yang mampu mentadbir kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat.

"Jika semua muka baru akan membantut kemampuan kerajaan BN untuk memenuhi harapan rakyat. Saya harap penilaian dilihat dalam konteks menyeluruh. Bukan sahaja mereka yang bertanding...kemampuan untuk menubuhkan kerajaan yang kuat dan mampu penuhi kehendak rakyat pada masa akan datang," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan mereka yang terpilih melakukan terbaik untuk parti.

"Ada kelemahan parti akan bertindak baiki. Pada yang tidak terbaris, bukan bererti mereka gagal, bermasalah atau ada kepincangan. Tetapi dalam keadaan masyarakat dan pengundi menuntut perubahan maka sebahagian anggota kita terpaksa beri laluan untuk pembaharuan," katanya.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyatnya yang telah memberikan khidmat sepanjang penggal ini dan berharap terus mendapat sokongan kuat daripada anggota parti.

Beliau ketika ditanya, apakah kriteria calon untuk kerusi-kerusi panas yang ditandingi pembangkang seperti Pematang Pauh.

Najib berkata, pihaknya ada calon yang hebat untuk menandingi ketua pembangkang itu.

"Tidak mungkin kita boleh menang semua kerusi itu realistik, tetapi kita meletakkan calon berwibawa," katanya.

PAS Parti Ajaran Sesat... Bawa Fatwa Songsang - TPM #GE13

Oleh: RR - 2013/04/06 | 7:49 PM


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri pada Sabtu melabelkan Parti PAS sebagai Parti Ajaran Sesat berikutan kenyataan kontroversi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disifatkannya sebagai fatwa songsang yang boleh mengelirukan rakyat.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau agak kecewa dengan kenyataan songsang itu kerana Nik Abdul Aziz merupakan seorang ulama dan tokoh agama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaharu Nik Abdul Aziz yang mendakwa solat orang Umno tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan turun padang ke kawasan Lembah Pantai dan bersarapan pagi di Gerai Singgah Santai, Kondo Rakyat Desa Pantai di sini.

"Nik Aziz bersifat macam Tuhan sedangkan dia kata dia tokoh agama. Dia mengeluarkan fatwa sebegitu menghukum bahawa sembahyang orang Umno tidak dapat pahala kerana katanya Umno menolak Islam, Umno tidak berjuang untuk Islam.

"Ini bukan kali pertama, Pas dan Nik Abdul keluarkan fatwa menghukum Umno. Umno sebagai kafir di dalam Amanat Haji Hadi. Ini sudah terbukti bahawa Pas ialah Parti Ajaran Sesat, dan bukannya Parti Islam SeMalaysia," katanya.

Justeru itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat agar menolak Pas dan pemimpinnya agar tidak sesat dengan ajaran songsang parti itu.

"Kalau ikut ajaran Pas sebegitu, maka semua akan sesat. Lebih-lebih lagi Nik Aziz menggunakan agama untuk tujuan politik lagi menyesatkan.

"Satu peringatan agar kita menolak Pas dan pemimpin Pas, dan Umno adalah parti yang berjuang untuk Islam sudah lama. Kalau saya nak ceritakan mungkin pemberita tidak ada muka surat untuk tulis," katanya.

Katanya, dari awal lagi, sejarah Umno menunjukkan perjuangan parti itu untuk menebus kemerdekaan negara, menggubal perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, pembelaan umat Islam, maka jelas terbukti Umno ialah parti yang memperjuangkan Islam sejak dahulu sampai hari ini. - BERNAMA

Diana Amir Tak Sabar Jejakkan Kaki Ke Gaza

Oleh: RR - 2013/04/01 | 8:41 AM


AKTRES jelita Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim memberitahu bahawa dia tidak sabar dan tidak gentar untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin bagi mengikuti misi kemanusiaan bersama rombongan kumpulan selebriti Usrah Fitrah.

"Walaupun pelbagai cerita kita dengar mengenai keadaan di Gaza tetapi saya tidak berasa gentar kerana ingin melihat sendiri kehidupan masyarakat di sana dan menghulurkan apa-apa bantuan sekiranya perlu," katanya kepada mStar.

Diana berkata, peluang ke Gaza ini akan digunakan untuk bermuhasabah diri dalam menjadi seorang muslimah yang lebih baik kerana masih banyak kekurangan yang terdapat pada dirinya.

"Banyak tempat-tempat bersejarah yang telah dirancang untuk lawatan ini dan kesempatan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk mendalami sejarah Islam."

Dalam pada itu, seramai 28 ahli rombongan yang menyertai misi itu termasuklah Yatt Hamzah, Siti Nordiana, Zoey Rahman, Heliza, Sufian dan Eenaz Mokhtar yang mana mereka akan berada di Gaza selama dua hari pada lawatan yang bermula Isnin lalu hingga 2 April.

#LahadDatu: Lelaki Bergelar "Datuk Seri" Dicari Bantu Kes #OpsDaulat

Oleh: RR - 2013/03/31 | 11:48 PM

LAHAD DATU: Polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.

Hamza menunjukkan gambar lelaki yang bergelar "Datuk Seri"
pada sidang media di Felda Sahabat
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridzwan Sulaiman,dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak terlibat dengan pengganas tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan Operasi Daulat.

"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.

Sementara itu, Hamza berkata 180 penduduk yang menghuni pusat penempatan telah dibenar pulang ke rumah masing-masing iaitu 101 orang dari Kampung Tanjung Labian dan masing-masing 25 dan 54 orang dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah.

Beliau berkata, tiada pertempuran berlaku sepanjang 24 jam yang lepas dan operasi penggeledahan serta pembersihan masih dijalankan di kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.

Berhubung keselamatan di laut, Hamza berkata selain melakukan penggeledahan dan pembersihan kawasan pertempuran, kawalan di kawasan perairan dilakukan setiap masa membabitkan pasukan polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - BERNAMA

NASIONAL

HIBURAN

GLOBAL

SUKAN

NEWS

 
MYOMEDIA : UTAMA | NASIONAL | GLOBAL
Copyright © 2011. MYO [Malaysia Online] MEDIA - All Rights Reserved
Hakcipta 2012 MYOMEDIA SDN BHD
Proudly powered by Blogger