Home » » 61 Mati Dipijak Semasa Pertunjukan Bunga Api Malam Tahun Baru

61 Mati Dipijak Semasa Pertunjukan Bunga Api Malam Tahun Baru

Oleh: RR - 2013/01/02 | 4:51 AM


ABIDJAN: Kira-kira 61 orang mati akibat dipijak di luar sebuah stadium di sini selepas pertunjukan bunga api sempena kedatangan tahun baru, kata pemerintah semalam.

Seorang pegawai kecemasan berkata, kejadian itu berlaku dekat Stadium Felix Houphouet Boigny apabila sejumlah orang berhimpun untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Salah seorang yang cedera itu memberitahu agensi berita Reuters, pasukan keselamatan tiba untuk cuba memisahkan kumpulan orang ramai.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan panik sehingga mengakibatkan orang ramai mula berasak-asak sekali gus menyebabkan berlaku kejadian rempuhan.

Presiden Ivory Coast, Alassane Ouattara melawat mangsa yang cedera di hospital.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi negara dan menyatakan siasatan dilakukan untuk menentukan punca kejadian.

Seorang koresponden Reuters memberitahu, tompokan darah dan sejumlah kasut kelihatan di luar stadium berkenaan.

"Dua anak saya datang ke sini. Saya memberitahu supaya jangan datang tetapi mereka tidak mahu mendengar.

"Mereka datang ketika saya sedang tidur," kata seorang pekerja pembersihan, Assetou Toure.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui sama ada anaknya itu selamat daripada kecederaan.

Kejadian itu merupakan yang terburuk di Abidjan sejak tahun 2010.

Pada tahun itu, kejadian yang sama berlaku di sebuah stadium semasa perlawanan bola sepak diadakan menyebabkan 18 orang mati.
Kongsi artikel ini :

Post a Comment

 
MYOMEDIA : UTAMA | NASIONAL | GLOBAL
Copyright © 2011. MYO [Malaysia Online] MEDIA - All Rights Reserved
Hakcipta 2012 MYOMEDIA SDN BHD
Proudly powered by Blogger